Pemain tengah Kedah Darul Aman FC (Kedah), Syazwan Zainon menjelaskan bukan mudah mengambil peranan ketua pasukan yang ditinggalkan Baddrol Bakhtiar yang berhijrah ke Sabah FC, musim ini.
Ujarnya, nama Baddrol selaku ketua pasukan Kedah Darul Aman sudah begitu sinonim di kaca mata peminat dan menjadi satu cabaran buat dirinya memenuhi harapan yang disandarkan.
Justeru, Syazwan berharap semua pihak boleh berikan sokongan kepada dia dan tidak terlalu membandingkan dengan Baddrol kerana masing-masing ada cara tersendiri.
“Tanggungjawab sebagai ketua pasukan di Kedah sebenarnya membuatkan saya berasa takut dan bukan untuk dibanggakan kerana semua orang tahu ketua pasukan sebelum ini adalah Baddrol.
“Saya gementar jika ada orang hendak bandingkan saya dengan Baddrol Bakhtiar kerana legasi yang dia tinggalkan sangat besar untuk diisi oleh sesiapa.
“Jadi, situasi ini bukan mudah namun harap semua peminat boleh menerima cara saya kerana setiap pemain punyai karakter yang berbeza.
“Apa-apapun, saya masih Syazwan yang dikenali seperti mana dulu dan akan sentiasa bercakap untuk kepentingan rakan sepasukan dan beri arahan kepada pemain jika keadaan memerlukan,” katanya.
Syazwan yang bakal menginjak umur 33 tahun menjadi antara pemain paling senior selain Shahril Saa’ri dan Azamuddin Mohd Akil di Kedah selepas pemergian Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali ke Sabah FC.
Biarpun pernah berhijrah ke Selangor selama dua musim pada 2019 dan 2020, Syazwan sebenarnya telah beraksi bersama Kedah sejak pertengahan musim 2013 hingga 2018.
Dia telah membantu Kedah memenangi pelbagai kejuaraan seperti Piala Malaysia (2016), Piala FA (2017) dan Liga Premier (2015).
Featured Image: Kedah Darul Aman FC