Ranking BWF: Beregu Wanita, Pearly-Thinaah Semakin Hampiri ‘Top 10’ Dunia
March 22, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu badminton wanita utama negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan semakin menghampiri kelompok 10 pasangan wanita terbaik di dunia.

Menurut kemaskini ranking terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, Pearly-Thinaah merekodkan peningkatan sebanyak dua anak tangga menjadikan mereka menghuni ranking ke-13 dunia, minggu ini.

Peningkatan itu diraih selepas mereka mendapat 6,600 mata setelah mara sehingga ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2022 – Jelajah Dunia Super 1000 BWF – yang memberikan 59,872 mata secara keseluruhan.

Sebagai perbandingan, beregu England, Chloe Birch dan Lauren Smith yang berada di ranking ke-12 mengumpul 60,744 mata. Manakala pasangan ke-11, beregu Malaysia yang telah bersara, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean mempunyai 60,944 mata.

Di tangga ke-10 adalah beregu Republik Korea, Chang Ye-na dan Kim Hyerin mempunyai 62,940 mata.

Sementara itu, sepasang lagi beregu wanita negara berstatus bebas (independent), Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien turut merekodkan peningkatan sebanyak empat anak tangga dan kini menduduki ranking ke-44 dunia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen