Artikel

Juara MotoGP Enam Kali, Marc Marquez Alami Masalah Penglihatan – Diplopia

Pelumba Repsol Honda merangkap juara Kejuaraan Dunia MotoGP sebanyak enam kali, Marc Marquez disahkan mengalami masalah penglihatan melihat imej berganda (double vision) – diplopia buat kali kedua.

Ahad lalu, pelumba Sepanyol berusia 29 tahun ini terjatuh dan mengalami ‘highside’ di selekoh 7 semasa sesi pemanas badan sebelum perlumbaan Indonesian Grand Prix di Litar Pertamina Mandalika, Ahad lalu.

Sejurus daripada kemalangan tersebut, pasukan perubatan MotoGP mengesahkan Marquez mengalami gegaran dan trauma sebelum dipindahkan ke hospital di Mataram – pusat bandar di Kepulauan Lombok untuk dilakukan pemeriksaan lanjut.

Susulan daripada pemeriksaan itu, sebagai langkah berjaga-jaga, pasukan perubatan MotoGP bersama-sama pasukan Repsol Honda membuat keputusan mengumumkan Marquez tidak akan mengambil bahagian dalam perlumbaan tersebut.

Ketika dalam perjalanan pulang ke negaranya, Marquez mula mengalami ketidakselesaan penglihatan. Sejurus sahaja tiba di Barcelona pada Isnin lepas, dia segera bertemu pakar oftalmologi, Dr. Sanchez Dalmau sekaligus mengesahkan Marquez mengalami masalah diplopia seperti dialaminya pada November tahun lalu.

komen