Badan induk, Badminton Asia mengumumkan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 akan diadakan di Manila, Filipina bermula 26 April hingga 1 Mei hadapan.
Perkara tersebut dimaklumkan secara rasmi di pelbagai platform media sosial Badminton Asia, pada hari ini.
Sepertimana pengumuman oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada tahun 2020, kejohanan individu peringkat benua asia ini diangkat menjadi kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 bermula tahun ini – menjadikan pemenang kejohanan ini akan meraih 12,000 mata.
Untuk makluman semua, sebelum ini, kejohanan ini berstatus Jelajah Dunia Super 500 dimana pemenang akan meraih 9,200 mata sahaja.
Kali terakhir BAC dilangsungkan adalah pada tahun 2019 di Wuhan, China. Edisi tersebut menyaksikan tiga wakil Jepun iaitu Kento Momota, Akane Yamaguchi dan Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe memenangi kategori perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu lelaki masing-masing.
Sementara itu, dua wakil China, Chen Qingchen-Jia Yifan dan Wang Yilu-Huang Dongping memenangi kategori beregu wanita dan beregu campuran.
Sebagai tambahan, dua edisi terdahulu iaitu BAC 2021 dan BAC 2020 tidak dijalankan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia.