Sentuhan oleh ketua jurulatih dari Republik Korea, Kim Pan-gon memastikan skuad kebangsaan Harimau Malaya berhasil merekodkan kemenangan pertama ke atas Filipina selepas 15 tahun.
Kemenangan itu diraih hasil sumbangan dua jaringan daripada pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid pada separuh masa pertama yang membolehkan Malaysia menamatkan perlawanan tersebut dengan skor 2-0.
Selain daripada berjaya merekodkan kemenangan, corak permainan yang tersusun serta kemampuan para pemain untuk melancarkan serangan-serangan yang berbahaya ke arah gawang lawan turut mendapat pujian para peminat di media sosial.
Untuk makluman semua, ini juga merupakan kemenangan pertama yang diraih oleh Pan-gon sejak mengambil alih tugasan selaku pengurus dan ketua jurulatih menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletakkan jawatan awal Januari lalu.
Sebagai tambahan, kali terakhir Malaysia meraih kemenangan ke atas Filipina atau dikenali sebagai skuad The Azkals ini adalah pada Januari 2007 yang lalu dalam kejohanan Piala AFF.
Ketika itu, Malaysia berhasil mencetak kemenangan 4-0 hasil jaringan Hairuddin Omar (2 gol), Nizaruddin Yusoff (1gol) serta satu jaringan sendiri oleh pemain lawan.
Lima pertemuan selepas itu berkesudahan dengan keputusan seri dimana empat daripadanya berakhir dengan seri tanpa sebarang jaringan.
Featured Image: Football Association of Malaysia