Artikel

Terbuka Swiss: Kisona Singkir Bekas Pemain No.1 Dunia Untuk Mara Ke Suku Akhir

Perseorangan wanita negara, Kisona Selvaduray melakar kejutan dengan menyingkirkan bekas pemain No.1 dunia, Saina Nehwal dari India untuk mara ke peringkat suku akhir Terbuka Swiss 2022.

Dalam perlawanan di Pusingan 16 yang berlangsung awal pagi tadi, Kisona yang berada di ranking ke-64 dunia terlebih dahulu tumpas di set pertama dengan skor 17-21.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun ini berhasil bangkit mencipta kemenangan di set seterusnya dengan skor 21-13 sebelum menamatkannya di set penentuan juga dengan skor 21-13.

Pertarungan kedua melibatkan kedua-dua pemain ini berlangsung dalam tempoh yang menghampiri satu jam permainan. Untuk pengetahuan semua, Kisona pernah Saina sebanyak satu kali sebelum ini di Terbuka Thailand 2021 yang menyaksikannya tumpas ‘straight set’ dengan skor 15-21 dan 15-21.

Sebagai tambahan, Saina yang kini menghuni ranking ke-23 dunia pernah mengungguli ranking No.1 dunia selama sembilan minggu berturut-turut pada tahun 2015. Selain itu, Saina juga pernah merangkul beberapa kejuaraan utama antarabangsa seperti Indonesia Masters 2019, pingat emas Sukan Komanwel 2018, Terbuka India 2015, Terbuka China 2015 dan lain-lain lagi.

Sementara itu, di peringkat suku akhir nanti, Kisona akan berentap menentang pemain Thailand yang menghuni ranking ke-29 dunia, Supanida Katethong.

Featured Image: Badminton Assiciation of Malaysia

komen