Artikel

Terbuka Swiss: Tze Yong Tumpas Buat Kali Kedua Di Tangan Jonatan Christie

Perseorangan muda negara, Ng Tze Yong terpaksa akur tumpas buat kali kedua di tangan pemain No.8 dunia dari Indonesia, Jonatan Christie.

Tze Yong yang berusia 21 tahun tumpas kepada pemain tersebut di Pusingan 16 saingan Terbuka Swiss 2022 yang berlangsung awal pagi tadi, waktu Malaysia.

Dalam perlawanan tersebut, Tze Yong yang menghuni ranking ke-46 dunia terlebih dahulu memenangi set pertama dengan skor 21-18. Namun begitu, Jonatan yang terkenal dengan panggilan Jojo itu berhasil bangkit di dua set berikutnya mencatatkan kemenangan dengan skor 21-13 dan 21-12 sekaligus menumpaskan Tze Yong.

Untuk makluman semua, pertarungan antara Tze Yong dan Jonatan yang melibatkan tiga set permainan itu berlangsung dalam tempoh menghampiri satu jam.

Sebagai tambahan, kali pertama kedua-dua pemain ini bertarung adalah ketika di kejohanan Piala Thomas 2020 yang berlangsung di Denmark, tahun lalu. Ketika itu, Tze Yong tumpas dengan skor 21-14, 19-21 dan 16-21 dalam tempoh 75 minit.

Sementara itu, Jonatan yang mara ke suku akhir bakal berhadapan dengan pemain Perancis, Toma Junior Popov.

Featured Image: Badminton Asia

komen