Artikel

Terbuka Swiss: Gandingan Vivian-Chiew Sien Mara Ke Separuh Akhir Buat Pertama Kali

Beregu wanita bebas (independent), Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien berhasil mara ke peringkat separuh akhir buat pertama kali di dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sejak bergandingan bersama bermula Oktober tahun lalu.

Kemaraan itu diraih di saingan Terbuka Swiss 2022 – Jelajah Dunia Super 300 BWF – selepas berhasil menumpaskan beregu India, Ashwini Ponnappa dan N. Sikki Reddy di peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Vivian-Chiew Sien yang menghuni ranking ke-44 dunia itu menyingkirkan lawannya yang menduduki tangga ke-20 dunia secara ‘straight set’ dengan skor 22-20 dan 23-21 dalam tempoh masa yang menghampiri satu jam permainan.

Untuk rekod, ini merupakan pertarungan sulung yang melibatkan kedua-dua beregu dari Malaysia dan India masing-masing ini.

Sementara itu, Vivian-Chiew Sien yang mara ke peringkat separuh akhir bakal berhadapan dengan cabaran yang sengit kelak. Ini kerana mereka bakal bertemu dengan beregu Bulgaria yang merupakan pasangan No.9 dunia, Gabriela Stoeva dan Stefani Stoeva.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen