Terbuka Swiss: Beregu No.3 Indonesia Catat Kemenangan Sulung Ke Atas Aaron-Wooi Yik
March 27, 2022 Hafizuddin Omar

Tiga pertemuan terdahulu menentang beregu No.3 Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto berakhir dengan kemenangan buat Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Namun begitu, pertemuan keempat melibatkan kedua-dua pasangan beregu ini di peringkat separuh akhir saingan Terbuka Swiss 2022 menyaksikan satu pengakhiran baharu tercipta.

Beregu No.1 negara merangkap penghuni ranking kelapan dunia, Aaron-Wooi Yik tumpas buat pertama kali kepada Fajar-Ardianto di pentas kejohanan antarabangsa.

Di dalam perlawanan tersebut, Fajar-Ardianto yang menduduki ranking kesembilan dunia berhasil menumpaskan Aaron-Wooi Yik menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 22-20, 13-21 dan 21-8 dalam tempoh masa 51 minit permainan.

Kekalahan ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal menempah tiket ke perlawanan akhir di kejohanan yang bertarah Jelajah Dunia Super 300 BWF ini. Bagaimanapun, kemaraan ke peringkat separuh akhir ini menyamai pencapaian yang ditampilkan mereka pada tahun lalu.

Sementara itu, di pentas final kelak, Fajar-Ardianto bakal berhadapan samada satu lagi beregu Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin atau beregu senegaranya, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan.

Komen