Terbuka Swiss: Sze Fei-Izzuddin Hanya Menang Satu Kali Sahaja Bertemu Fajar-Ardianto
March 27, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin berhasil menempah tiket ke perlawanan akhir saingan Terbuka Swiss 2022 – Jelajah Dunia Super 300 BWF.

Kemaraan itu terhasil selepas berjaya menumpaskan beregu muda Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan yang berusia 21 dan 22 tahun masing-masing di peringkat separuh akhir, awal pagi tadi.

Sze Fei-Izzuddin mengambil selama 36 minit sahaja untuk mengalahkan beregu ke-23 dunia itu secara ‘straight set’ dengan skor 21-18 dan 21-18 yang berlangsung di Gelanggang 1. 

Di pentas akhir kelak, Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking ke-18 dunia akan bertemu sepasang lagi beregu Indonesia iaitu Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto yang merupakan pasangan No.9 dunia.

Fajar-Ardianto pula mara ke pentas final selepas menumpaskan beregu lelaki No.1 Malaysia merangkap pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik di peringkat separuh akhir, sekitar tengah malam tadi.

Berdasarkan rekod, Sze Fei-Izzuddin telah bertarung dengan mereka sebanyak empat kali sebelum ini. Daripada empat pertemuan tersebut, Sze Fei-Izzuddin hanya berhasil meraih satu kemenangan sahaja.

Kemenangan itu dicapai dalam pertemuan terakhir mereka dalam saingan Terbuka Denmark 2021 yang berkesudahan dengan Sze Fei-Izzuddin mencatatkan kemenangan secara ‘straight set’ 21-18 dan 21-17.

Manakala baki tiga pertarungan lagi dalam saingan Terbuka Chinese Taipei 2019, Princess Sirivannavari Thailand Masters 2018 dan Walikota Surabaya Internatioanal Series 2016 memihak kepada Fajar-Ardianto.

Komen