Artikel

Soon Huat-Shevon Tumpas Buat Pertama Kali Kepada Mark-Isabel, Terlepas Kejuaraan Terbuka Swiss 

Beregu campuran Jerman, Mark Lamsfuss dan Isabel Lohau melakar kejutan dengan mencipta kemenangan pertama menentang Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai di pentas antarabangsa.

Kemenangan itu berjaya dilakar oleh beregu yang menduduki ranking ke-15 dunia itu dalam perlawanan akhir saingan Terbuka Swiss 2022, sebentar tadi.

Mereka meraih kemenangan tersebut menerusi tiga set pertarungan yang berkesudahan dengan skor 12-21, 21-18 dan 21-17 dalam tempoh masa melebihi satu jam permainan.

Untuk makluman, kedua-dua beregu ini pernah berentap sebanyak empat kali di pelbagai kejohanan antarabangsa, sebelum ini. Namun keempat-empat pertarungan tersebut memihak kepada Soon Huat-Shevon secara bersih berturut-turut.

Sementara itu, kekalahan Soon Huat-Shevon kepada beregu Jerman ini juga menyebabkan mereka terlepas peluang untuk menamatkan kemarau kejuaraan yang menghampiri empat tahun di pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, kejuaraan terakhir yang dirangkul oleh beregu No.13 dunia ini adalah adalah Terbuka Singapura 2018 – Jelajah Dunia Super 500 BWF – dengan menumpaskan beregu Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir pada perlawanan akhir.

Featured Image: Swiss Open

komen