RTM Siar Undian Akhir Piala Dunia 2022 Qatar Secara Langsung
March 28, 2022 Hafizuddin Omar

Stesen penyiaran milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memaklumkan akan menyiarkan majlis undian akhir Piala Dunia 2022 Qatar secara langsung di saluran-saluran televisyen miliknya.

Menurut RTM, siaran langsung majlis yang diadakan di Doha Exhibition and Convention Center akan dapat disaksikan di saluran TV Okey, Sukan TV serta secara penstriman langsung di platform RTM Klik. Ianya dijadualkan pada jam 11.30 malam, 1 April (Jumaat) kelak.

Bercakap mengenai kejohanan bola sepak yang berlangsung setiap empat tahun ini, setakat artikel ini ditulis, sebanyak 20 daripada 32 negara termasuk tuan rumah, Qatar telah disahkan layak menyertai saingan ini.

Negara-negara yang telah layak adalah Jerman, Denmark, Brazil, Perancis, Belgium, Croatia, Sepanyol, Serbia, England, Switzerland, Belanda, Argentina, Iran, Republik Korea, Jepun, Arab Saudi, Ecuador, Uruguay dan Kanada.

Sementara itu, sembilan lagi pasukan yang layak akan diketahui pada awal pagi Rabu (waktu Malaysia) nanti setelah selesai perlawanan play-off atau kelayakan masing-masing.

Kesemua 29 pasukan ini akan disusun berdasarkan kedudukan ranking dunia yang dikemaskini oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 31 Mac nanti.

Kemudiannya, 29 pasukan tersebut akan dibahagikan kepada empat balang dimana Qatar selaku tuan rumah akan diletakkan di posisi A1 dalam Balang 1 dan diikuti dengan tujuh pasukan terbaik.

Seterusnya, pasukan yang menghuni kedudukan kesembilan hingga ke-16 terbaik akan diletakkan di dalam Balang 2 sementara kedudukan ke-17 hingga ke-24 akan diletakkan dalam Balang 3.

Akhir sekali, Balang 4 pula akan diisi oleh pasukan yang menduduki tempat ke-25 hingga ke-29 ditambah dengan slot untuk dua pasukan daripada pemenang play-off antara benua (intercontinental) serta satu pemenang play-off UEFA.

Selepas itu, undian akan dijalankan dengan mencabut setiap pasukan daripada setiap balang untuk diisi dalam Kumpulan A, B, C, D, E, F, G dan H.

Untuk makluman semua, saingan Piala Dunia pada kali ini akan dilangsungkan bermula 21 November sehingga 18 Disember 2022.

Komen