Jurulatih Beregu Flandy Limpele Berpisah Dengan BAM Selepas 2 Tahun
March 28, 2022 Hafizuddin Omar

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan ketua jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele akan berpisah dengan badan induk badminton negara bermula 1 April kelak.

Menurut siaran media yang dikeluarkan oleh BAM pada hari ini, jurulatih berusia 48 tahun dari Indonesia itu mahu memulakan karier baharu selepas dua tahun menabur bakti untuk badminton Malaysia.

Difahamkan, pihak BAM terlebih dahulu telah menawarkan kontrak lanjutan tetapi ianya ditolak oleh Flandy.

“Selepas membuat pertimbangan sewajarnya dan perbincangan dengan Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM Rexy (Mainaky), saya merasakan ini merupakan waktu terbaik untuk berundur. 

“Saya sangat berbesar hati mendapat peluang untuk berkhidmat (dengan) BAM selama dua tahun,” kata Flandy.

Untuk makluman semua, Flandy yang menyertai BAM sekitar tahun 2020 merupakan individu yang bertanggungjawab membimbing beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik pada penampilan pertama mereka di temasya berkenaan.

Selain itu, pasangan beregu yang sedang meningkat naik pada ketika ini, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta beberapa yang lain lagi juga merupakan hasil ‘air tangan’ Flandy ketika bersama BAM.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen