Artikel

Orleans Masters: Mei Xing Digandingkan Bersama Roy King Dalam Acara Beregu Campuran

Satu gandingan beregu campuran baharu negara dapat disaksikan oleh peminat badminton tanah air di saingan Orleans Masters – Jelajah Super 100 BWF – bermula pada hari esok.

Dua pemain yang membentuk gandingan baharu tersebut ialah pemain beregu wanita, Teoh Mei Xing serta pemain lelaki muda, 21 tahun, Yap Roy King.

Nama mereka disenaraikan dalam untuk beraksi bermula daripada pusingan kelayakan dengan lawan pertama yang bakal dihadapi adalah dari England, Rory Easton dan Annie Lado.

Seperti kita sedia maklum, Mei Xing dahulunya membentuk gandingan bersama Yap Ling dan berjaya menduduki ranking ke-67 dunia – tertinggi dicapai oleh mereka.

Namun, pihak kejurulatihan membuat keputusan untuk memisahkan mereka dan menggandingkan Mei Xing bersama Anna Cheong bermula Oktober 2021. Ketika ini, mereka menduduki ranking ke-80 dunia serta berjaya memenangi Terbuka Czech 2021 dan saingan Antarabangsa Syed Modi 2022.

Dalam saingan Orleans Masters ini, Mei Xing tetap akan beraksi bersama Anna Cheong dalam acara beregu wanita menjadikannya dia bakal mengambil bahagian dalam dua kategori.

Sementara itu, Roy King pula pernah bergandingan dengan beberapa pemain seperti Valeree Siow (beregu campuran) dan Muhammad Nurfirdaus Azman (beregu lelaki) yang berhasil menghadirkan beberapa kejuaraan sepanjang tahun 2021.

Selain itu, Roy King juga bergandingan bersama Chang Yee Jun bagi kategori beregu lelaki sejak Oktober tahun lalu termasuk dalam dua saingan pada tahun ini – Terbuka Swedish dan Terbuka Ukraine. Sebagai tambahan, gandingan Roy King-Yee Jun turut mengambil bahagian dalam kategori beregu lelaki di Orleans Masters.

komen