Malaysia Menangi Bidaan Untuk Hos Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2023
March 29, 2022 Hafizuddin Omar

Satu perkhabaran baik dibawa oleh Naib Presiden Persekutuan Persatuan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill dengan memaklumkan Malaysia dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Berbasikal Asia (ATC) 2023.

Perkhabaran itu dimaklumkan menerusi satu perkongsian di laman sosialnya, semalam, selepas daripada Malaysia memenangi bidaan untuk menganjurkannya di Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) yang berlangsung di Dushanbe, Tajikistan. 

Amarjit turut memaklumkan, kejohanan yang bakal dilangsungkan di Velodrom Nasional, Nilai ini akan menawarkan mata penting untuk kelayakan ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Datuk Amarjit Singh Gill

Ini pastinya membantu Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus dan pelumba-pelumba tempatan lain bukan sahaja untuk merebut kejuaraan bahkan mengutip mata ke temasya yang dianjurkan setiap empat tahun sekali itu dengan sokongan peminat tanah air. 

Bagaimanapun, belum ada sebarang tarikh khusus diumumkan untuk kejohanan ini.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjadi hos untuk kejohanan peringkat benua asia ini adalah pada tahun 2018.

Ketika itu, Azizulhasni atau dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ berhasil membawa pulang pingat perak dan gangsa dalam acara pecut dan keirin masing-masing.

Manakala pelumba wanita, Fatehah Mustapa membawa pulang pingat gangsa dalam acara ujian masa 500 meter (m).

Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia 

Komen