Beregu badminton lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang menjadi naib juara Terbuka Swiss pada minggu lalu semakin mendekati kelompok 15 pasangan terbaik dunia.
Kedudukan naib juara itu diraih selepas mereka terpaksa akur tumpas kepada beregu Indonesia, Fajar Alfian dan Rian Ardianto pada perlawanan akhir kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 300 BWF, Ahad lalu.
Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, Sze Fei-Izzuddin berhasil mendaki dua anak tangga sekaligus menempatkan diri mereka di ranking ke-16 dunia untuk minggu ke-13 ini.
Untuk makluman semua, kedudukan ini merupakan yang tertinggi pernah diraih oleh pemain yang berusia 24 tahun masing-masing ini sejak bergandingan bersama sekitar lima tahun yang lalu.
Sementara itu, beberapa beregu lelaki negara yang lain dilihat kekal kedudukan ranking masing-masing. Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di tangga ke-8, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di tangga ke-11 dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun di tangga ke-44.
Manakala Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong dan Goh V Shem-Low Juan Shen dilihat menurun satu anak tangga menjadikan mereka menduduki ranking ke-90 dan ke-129 masing-masing.
Featured Image: Swiss Open