Artikel

Ranking BWF: Beregu Muda Meningkat 10 Anak Tangga, Vivian-Chiew Sien Sertai Kelompok 40 Terbaik

Kemaskini ranking terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini memperlihatkan peningkatan ketara terhadap beberapa beregu wanita negara.

Peningkatan tersebut diraih hasil daripada penyertaan mereka di dalam saingan Terbuka Swiss – Jelajah Dunia Super 300 BWF – yang tamat pada Ahad lalu.

Paling mencuri tumpuan adalah peningkatan 10 anak tangga yang diraih oleh beregu muda berusia 20 tahun masing-masing, Low Yeen Yuan dan Valeree Siow.

Walaupun sekadar beraksi sehingga ke peringkat Pusingan 16, ianya sudah memadai untuk melonjakkan mereka ke ranking ke–82 dunia, pada minggu ini.

Sementara itu, Teoh Mei Xing-Anna Cheong yang mara ke peringkat suku akhir pula merekodkan peningkatan sebanyak 11 anak tangga menjadikan mereka menghuni ranking ke-69 dunia pada ketika ini.

Manakala beregu wanita bebas (independent) negara, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien yang mempamerkan prestasi memberangsangkan sehingga berjaya mara ke peringkat separuh akhir saingan Terbuka Swiss pula berhasil melonjak empat anak tangga dan membolehkan menghuni kelompok ranking 40 terbaik dunia buat pertama kali.

Sementara itu, tiada sebarang perubahan ranking dikesan terhadap gandingan wanita utama negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dimana mereka kekal sebagai beregu No.13 dunia.

Featured Image: Swiss Open & Badminton Association of Malaysia

komen