Perdana Menteri (PM) Macedonia Utara, Dimitar Kovacevski menawarkan ganjaran sebanyak RM2.3 juta (€500,000) kepada skuad bola sepak negaranya sekiranya berjaya melayakkan diri ke saingan Piala Dunia 2022 Qatar.
Macedonia Utara yang merupakan negara pecahan Yugoslavia hanya selangkah sahaja lagi sebelum layak menyertai kejohanan bola sepak yang dilangsungkan setiap empat tahun sekali itu buat pertama kali dalam sejarah pasukannya.
Namun begitu, untuk melangkah ke saingan itu, Macedonia Utara perlu menyingkirkan juara Euro 2016 yang diketuai pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali iaitu Cristiano Ronaldo terlebih dahulu pada perlawanan akhir play-off yang akan berlangsung pada awal pagi nanti.
Menurut laporan Reuters, pemimpin mereka yang berusia 48 tahun itu menawarkan ganjaran berkenaan selepas skuad Macedonia Utara melakukan kejutan dengan menumpaskan juara Euro 2020, Itali pada perlawanan separuh akhir play-off, minggu lalu.
Kemenangan itu dicapai hasil jaringan tunggal oleh penyerangnya, Aleksandar Trajkovski pada masa kecederaan iaitu minit ke-92 yang berlangsung di gelanggang lawan, Stadium Renzo Barbera, Palermo, Itali.
Ia sekaligus menyebabkan skuad bimbingan Roberto Mancini itu tidak dapat menyertai saingan Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.
Untuk makluman semua, berbalik kepada perlawanan akhir play-off itu nanti, Portugal dilihat mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri memandangkan ianya dilangsungkan di Stadium Dragao, Porto.
Pada masa yang sama, dijangka stadium berkapasiti 50,000 tempat duduk itu akan dipenuhi para penyokong tuan rumah dengan dilaporkan 50,000 tiket telah pun habis dijual dalam tempoh beberapa jam sahaja sebelum ini.
Sepak mula perlawanan ini akan bermula pada jam 2.45 pagi nanti waktu Malaysia.