Skuad kebangsaan Senegal yang dibarisi oleh Sadio Mane dan beberapa pemain yang beraksi bersama kelab eropah telah membuatkan Mohamed Salah dan Mesir tidak akan bermain di pentas Piala Dunia 2022.
Ini selepas Senegal berhasil merekodkan kemenangan ke atas Mesir dalam perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia bagi peringkat Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), pada awal pagi tadi, waktu Malaysia.
Sebelum beraksi pada perlawanan timbal balik di Stade Me Abdoulaye Wade di Dakar, Senegal pada pagi tadi, Mesir turun dengan kelebihan aggregat 1-0 hasil daripada kemenangan yang diraih di halaman sendiri pada 26 Mac lalu.
Bagaimanapun, perlawanan pada hari ini, Senegal berhasil menjadikan agregat tersebut 1-1 seawal minit ke-4 berpunca daripada jaringan sendiri pemain Mesir, Hamdi Fathi. Skor 1-1 tersebut berlanjutan sehingga masa tambahan dan memaksa pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Semasa penentuan sepakan tersebut, Salah merangkap kapten Mesir antara yang gagal menyempurnakan sepakan penalti bersama-sama Ahmed Sayed (Zizo) dan Mostafa Mohamed. Hanya percubaan ketiga oleh Amr El Solia sahaja yang berhasil masuk ke dalam gawang.
🇸🇳✨ The African champions are going to Qatar!#WCQ | #WorldCup | @FootballSenegal pic.twitter.com/xFsNz7gqN1
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) March 29, 2022
Dua pemain Senegal yang mengambil giliran pada dua percubaan awal turut sama gagal menyempurnakan sepakan penalti. Namun, bermula pemain ketiga, Ismaila Sarr, Senegal berhasil mendapatkan rentak menjaringkannya sebelum pemain terakhir, Mane melengkapkannya sekaligus berhasil memenangi perlawanan skor 3-1.
Kemenangan itu membolehkan Senegal yang juga merupakan juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2021 menempah tiket ke Qatar dan tampil buat kali ketiga dalam sejarah di pentas Piala Dunia.