Selepas Essien & Odemwingie, Ronaldinho Pula Beraksi Di Indonesia
March 30, 2022 Hafizuddin Omar

Kancah bola sepak Indonesia menyaksikan sebilangan pemain terkenal dunia pernah beraksi di sana. Antaranya pemenang Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Michael Essien dan bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Peter Odemwingie.

Kedua-dua pemain ini beraksi dalam kancah bola sepak negara jiran tetangga bersama Persib Bandung dan Madura United masing-masing sekitar tahun 2017 hingga 2018.

Terbaru, menerusi satu perkongsian secara di laman Instagram kelab yang mendapat promosi ke saingan Liga 1 Indonesia, RANS Cilegon FC mengucapkan selamat datang kepada pemain legenda Brazil, Ronaldo de Assis Moreira atau dikenali ramai sebagai Ronaldinho Gaucho.

Dengan pengumuman tersebut, bekas pemain yang pernah beraksi bersama beberapa gergasi bola sepak eropah seperti Paris Saint-Germain, FC Bercelona dan AC Milan ini akan bergabung dan beraksi bersama RANS Cilegon.

Bagaimanapun, menerusi laporan beberapa media berpangkalan di negara sebarang, pemain yang pernah menjulang trofi Piala Dunia itu hanya hadir beraksi bersama RANS Cilegon dalam saingan kejohanan amal iaitu Piala Trofeo yang turut disertai oleh Arema, Persis Solo dan Persija Jakarta.

Pengerusi RANS, Rudy Salim pula mendedahkan kedatangan Ronaldinho bersama kelabnya bertujuan untuk menyemarakkan lagi kecintaan peminat terhadap bola sepak domestik dan memberi semangat kepada para pemain untuk menghadapi saingan musim 2022-23 kelak.

Pada masa yang sama, pihak pengurusan RANS Cilegon mengungkapkan seandainya keupayaan kewangan kelab dapat ditingkatkan menerusi penajaan selepas daripada ini, mereka tidak menolak untuk menawarkan kontrak secara tetap kepada pemain ini samada selama 3 atau 6 bulan, bergantung kepada persetujuan oleh Ronaldinho.

Untuk makluman semua, RANS Cilegon mendapat promosi ke saingan tertinggi bola sepak Indonesia selepas muncul naib juara Liga 2 pada musim ini.

Komen