Sepatutnya Rizal Lapor Diri Terlebih Dahulu & Kemukakan Sebab Untuk Tarik Diri
March 30, 2022 Hafizuddin Omar

Pertahanan Sabah FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali diberikan amaran keras oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar tidak mengulangi tindakan tidak melaporkan diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan sepertimana pada 14 Mac lalu.

Menerusi satu siaran media yang dikeluarkan pada hari ini, Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar memaklumkan satu surat amaran telah diberikan kepada pertahanan berusia 29 tahun tersebut agar menghormati panggilan skuad kebangsaan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan.

FAM juga memaklumkan Rizal telah pun menjawab surat tunjuk sebab kepada badan induk tersebut.

Pada masa yang sama, Saifuddin menasihatkan Rizal agar tampil melaporkan diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kepada pengurusan kebangsaan seandainya ada alasan kukuh untuk menarik diri di masa akan datang.

Untuk makluman semua, Rizal diletakkan dalam Senarai Bersedia untuk menyertai kem latihan pusat sebelum menghadapi Filipina dan Singapura baru-baru ini.

Disebabkan Syahmi Safari yang berada dalam senarai 30 pemain meminta pengecualian untuk tidak melapor diri ke kem pusat kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya, ketua jurulatih, Kim Pan-gon bertindak menggantikannya dengan Rizal.

Berikutan Rizal enggan melaporkan diri, difahamkan ekoran menghadapi masalah keluarga menurut laporan media tempatan, jurulatih kelahiran Korea itu bertindak memanggil pertahanan Negeri Sembilan yang turut berada dalam Senarai Bersedia, Ahmad Khuzaimi Piee.

Featured Image: Sabah Football Club

Komen