Penyerang Legenda Man Utd Dilantik Menjadi Pengurus Baharu PSV Eindhoven
March 31, 2022 Hafizuddin Omar

Bekas penyerang prolifik Manchester United, Ruud van Nistelrooy yang tampil sebanyak 219 kali serta menjaringkan 150 gol bersama skuad The Red Devils bakal berkhidmat sebagai pengurus untuk skuad senior bagi kelab bola sepak di negara kelahirannya.

Menerusi satu makluman rasmi, bekas penyerang yang berusia 45 tahun ini diumumkan sebagai pengurus baharu PSV Eindhoven yang beraksi dalam saingan utama bola sepak Belanda, Eredivisie.

Nama Nistelrooy juga tidak asing dengan PSV. Sebelum menyertai Man Utd, Nistelrooy mencipta nama bersama kelab ini dengan membuat 90 penampilan dan menjaringkan 77 gol.

Dimaklumkan, Nistelrooy akan bertugas sebagai pengurus skuad Rood-Witten ini bermula musim 2022-23 kelak. Kehadiran Nistelrooy adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Roger Schimdt yang tidak memperbaharui kontrak setelah tamatnya musim ini.

Untuk pengetahuan semua, Nistelrooy yang mengumumkan persaraan sebagai pemain pada tahun 2012 sudah terlibat dalam bidang kejurulatihan sebagai pengurus skuad pelapis PSV sekitar tiga musim yang lalu.

Sebelum itu, Nistelrooy pernah bersama barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Belanda bermula tahun 2014 sehingga 2016. Ketika itu, dia menjadi penolong jurulatih kepada Guus Hiddink.

Sebagai tambahan, selain beraksi bersama Man Utd dan PSV, Nistelrooy juga pernah menyarung jersi gergasi La Liga, Real Madrid. Bersama skuad Los Blancos, Nistelrooy membuat 96 penampilan serta merekodkan 64 jaringan gol.

Featured Image: Manchester United

Komen