Ranking FIFA: Menang Lawan Filipina, Kalah Kepada Singapura – Malaysia Kekal Di Tangga 154

March 31, 2022
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kedudukan skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya tidak berganjak dan sama seperti bulan lalu setelah mengharungi dua perlawanan antarabangsa, baru-baru ini.

Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada hari ini, ianya memaparkan pasukan Malaysia berada di tangga ke-154 dunia.

Kedudukan ini hasil daripada skuad kebangsaan yang kini dibimbing oleh Kim Pan-gon merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Filipina serta tewas 1-2 kepada Singapura pada 23 dan 26 Mac lalu.

Sementara itu, Vietnam kekal sebagai pasukan No.1 di rantau asia tenggara dengan menghuni ranking ke-96 dunia. Ianya diikuti oleh Thailand serta Filipina di kedudukan ke-111 dan ke-133 dunia.

Sebuah lagi pasukan asia tenggara yang berada di atas Malaysia ialah Myanmar dimana mereka menghuni ranking ke-152 dunia.

Selain itu, Singapura dan Indonesia masih kekal berada di bawah Malaysia namun kedudukan mereka mencatatkan peningkatan dengan menduduki ranking ke-158 dan ke-159 masing-masing pada kali ini.

Sebagai tambahan, kemaskini ranking dunia berikutnya adalah pada 23 Jun 2022.

Featured Image: Football Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd