Orleans Masters: ‘Patatimo Boys’ Ke Suku Akhir & Bakal Bertemu Beregu Senior Perancis
April 1, 2022 Hafizuddin Omar

Selepas berhasil mengejutkan wakil tuan rumah, Christo Popov dan Toma Junior Popov selaku pilihan kedua kejohanan pada Pusingan 32, beregu lelaki negara yang dikenali sebagai ‘Patatimo Boys’ meneruskan kecemerlangan melakar kemenangan pada Pusingan 16, awal pagi tadi.

Di Pusingan 16 tersebut, Wan Arif Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri tidak mempunyai masalah untuk menumpaskan beregu dari negara jiran tetangga, Indonesia, Panjer Dadiara dan Bryan Elohim untuk menempah tiket peringkat suku akhir.

Beregu yang berusia 19 tahun masing-masing ini meraih kemenangan secara ‘straight set’ ke atas beregu yang menghuni ranking ke-223 dunia itu dengan skor 21-18 dan 21-17 dalam tempoh masa setengah jam permainan sahaja.

Sementara itu, menanti beregu kelahiran Terengganu dan Kelantan di peringkat suku akhir adalah gandingan senior tuan rumah, Lucas Corvee dan Ronan Labar yang berusia 28 dan 32 tahun masing-masing.

Sebagai rekod, Arif-Haikal pernah berentap dengan beregu ini sebanyak satu kali di kejohanan Terbuka Austria 2021. Pertarungan itu berpihak kepada Arif-Haikal dengan meraih kemenangan secara ‘straight set’ 21-17 dan 21-15.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen