Presiden FAM: Qatar Sudah Siap Sepenuhnya Anjur Piala Dunia 2022
April 1, 2022 Hafizuddin Omar

Negara semenanjung arab, Qatar dilihat bersiap sedia sepenuhnya untuk menganjurkan kejohanan Piala Dunia 2022 yang amat dinanti-nantikan oleh kesemua peminat bola sepak.

Bahkan, kemeriahan kejohanan yang menghimpunkan 32 pasukan terbaik dunia pada setiap empat tahun sekali itu mulai terasa walaupun ianya masih berbaki 234 hari lagi.

Perkara tersebut diungkapkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin yang mengetuai delegasi negara ke Kongres FIFA Ke-72 di Pusat Konvensyen dan Pameran Doha (DECC), semalam.

“Sepanjang berada di Qatar, dilihat venue sudah sedia malah kemeriahan menjelang sepak mula 21 November 2022 sudah terasa.

“Persiapan yang diadakan di benua Asia ini dan pertama di Timur Tengah disifatkan sebagai sempurna dan sudah siap setahun awal,” katanya sepertimana dipetik daripada platform media sosial FAM, hari ini.

Untuk makluman semua, kehadiran Hamidin ke kongres berkenaan turut diiringi dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi serta Dato’ S. Sivasundaram.

Turut dikongsikan di kongres berkenaan, Presiden FIFA, Gianni Infantino menyatakan hasratnya untuk bertanding semula pada 2023. 

Selain itu, Infantino turut menekankan beberapa topik utama seperti dana pembangunan FIFA Forward ditingkatkan kepada 25 peratus bagi setiap negara gabungan, pelaburan dalam pembangunan bola sepak dan penyelesaian konflik peperangan negara anggota.

Sebagai tambahan, pada Rabu lalu, Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC kesembilan bagi penggal 2019-2023.

Manakala, pada hari ini, Hamidin akan menghadiri Mesyuarat Majlis Ketujuh AFF yang turut diadakan di Doha, Qatar.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen