Artikel

Gagal Lunas Tunggakan Hampir RM1 Juta, Perak FC Dipotong Tiga Mata

Kegagalan Perak FC melunaskan baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan ‘reserve team’ sehingga November 2021 menyebabkan mereka dikenakan pemotongan tiga mata secara serta merta oleh badan bebas, First Instance Body (FIB) pada hari ini.

Dimaklumkan, baki ansuran tunggakan itu berjumlah menghampiri RM1 juta berdasarkan Akuan Berkanun (SD) yang dihantarkan oleh Perak FC bertarikh (15 Disember 2021). 

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli-ahli jawatankuasa berkenaan kes tunggakan yang berlaku pada musim 2021.

“Pihak pengurusan Perak FC sebelum ini telah bersetuju untuk menjelaskan baki tunggakan gaji tahun lalu melibatkan pemain dan pegawai pasukan utama dan reserve team berjumlah RM 934,729.42 pada 31 Mac 2022 namun mereka didapati gagal untuk berbuat demikian.

“Justeru itu, Jawatankuasa FIB yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk menjatuhkan hukuman pemotongan tiga mata kepada Perak FC.

“Jika Perak FC masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir kedua (14 April 2022) maka pada 15 April 2022, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam lagi mata dalam saingan Liga Premier dan pengurangan dana,” katanya.

Tambah Sheikh Mohd Nasir lagi, sekiranya Perak FC masih gagal membuat bayaran tunggakan gaji tersebut sebelum atau pada 21 April 2022, maka pada 22 April 2022 MFL akan memanjangkan kes ini kepada FIB bagi tindakan lanjut.

Featured Image: Terengganu FC

komen