Majlis undian bagi kejohanan badminton berpasukan wanita, Piala Uber 2022 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand selesai dijalankan sebentar tadi. Kejohanan ini akan berlangsung bermula 8 hingga 15 Mei kelak.
Hasil undian yang dijalankan, skuad wanita Malaysia bakal mengharungi kejohanan dwitahunan ini dengan menentang Thailand selaku pasukan tuan rumah, Denmark dan Mesir dalam Kumpulan C.
Sementara itu, Kumpulan A pula diisi oleh naib juara 2020 iaitu Jepun bersama-sama Indonesia, Perancis dan Jerman.
Manakala, Kumpulan B pula akan disaingi oleh juara bertahan, China bersama-sama Chinese Taipei, Sepanyol dan Australia.
Untuk kumpulan terakhir yakni Kumpulan D, ianya diisi oleh semi finalis edisi lalu, Korea bersama-sama India, Kanada dan Amerika Syarikat.
Untuk makluman semua, saingan edisi terdahulu yang berlangsung di Denmark menyaksikan pasukan wanita Malaysia menamatkan saingan Piala Uber di kedudukan tercorot dalam Kumpulan D setelah tumpas dalam ketiga-tiganya perlawanan.