Artikel

Undian Piala Thomas 2022: Skuad Lelaki Negara Berhadapan Jepun, England & New Zealand

Saingan badminton berpasukan lelaki, Piala Thomas 2022 akan disajikan kepada para peminat bermula 8 hingga 15 Mei kelak dimana Bangkok, Thailand dipilih sebagai tuan rumah.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengadakan majlis undiannya untuk menentukan lawan masing-masing bagi peringkat kumpulan, pada hari ini. 

Untuk skuad lelaki negara, hasil undian menyaksikan mereka diletakkan dalam Kumpulan D bersama-sama semi finalis edisi lalu, Jepun serta England dan New Zealand. 

Sementara itu, Kumpulan A pula dihuni oleh juara bertahan, Indonesia berserta pasukan tuan rumah iaitu Thailand, Korea dan Singapura. 

Manakala untuk Kumpulan B, ianya diisi oleh naib juara edisi lalu, China serta Denmark, Perancis, dan Algeria. 

Terakhir, Kumpulan C pula akan disaingi oleh Chinese Taipei, India, Jerman dan Kanada. 

Sebagai rekod, saingan Piala Thomas edisi lalu menyaksikan pasukan Malaysia berhasil melepasi saingan peringkat kumpulan namun tersingkir di peringkat suku akhir ekoran ditumpaskan pasukan jiran tetangga, Indonesia. 

komen