Tiada Lagi Had Kapasiti Kehadiran Penonton Ke Stadium Bermula 1 April – KBS
April 1, 2022 Hafizuddin Omar

Sepertimana diumumkan oleh pihak kerajaan, kini, Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula pada hari ini. Selaras dengan pengumuman itu, aktiviti sukan dan rekreasi boleh dilaksanakan sepenuhnya tanpa terikat kepada kapasiti, waktu operasi, had umur dan seumpamanya.

Menerusi satu kenyataan, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan beberapa kemudahan baharu dalam sektor sukan dan rekreasi antaranya kebenaran untuk makan dan minum di venue sukan dalam kalangan penyokong.

Keduanya, tiada lagi had kapasiti penyertaan bagi melakukan aktiviti berkumpulan dan sebarang penganjuran acara sukan dan rekreasi namun tertakluk kepada kemampuan mengekalkan penjarakan fizikal sebelum dan selepas acara yang dijalankan.

Ketiganya, had kapasiti kehadiran penonton ke venue sukan dan rekreasi sebagai contoh stadium dimansuhkan. Namun ianya tetap tertakluk kepada penjarakan fizikal yang munasabah (sekurang-kurangnya 1 meter) mengikut ruang tempat duduk.

Selain itu, penonton yang berumur 12 tahun dan ke bawah juga dibenarkan hadir ke venue sukan dengan syarat ditemani atau dipantau oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin.

Pada masa yang sama, Faizal menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi protokol kesihatan awam terutamanya berkaitan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal kecuali ketika melakukan aktiviti sukan dan rekreasi. 

Komen