Orleans Masters: Perjalanan Gandingan Baharu Roy King-Mei Xing Tamat Di Separuh Akhir
April 2, 2022 Hafizuddin Omar

Peringkat separuh akhir menjadi titik noktah buat gandingan campuran yang baharu sahaja dibentuk oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Yap Roy King dan Teoh Mei Xing dalam saingan Orleans Masters 2022.

Pemain berusia 21 dan 24 tahun masing-masing ini dinafikan untuk ke pentas akhir kejohanan berstatus Jelajah Super 100 BWF oleh beregu campuran jiran tetangga, Indonesia iaitu Rehan Naufal Kusharjanto dan Lisa Ayu Kusumawati.

Roy King-Mei Xing ditumpaskan oleh pasangan yang menghuni ranking ke-49 dunia itu secara ‘straight set’ dengan skor 21-16 dan 21-15 dalam tempoh sekitar setengah jam sahaja.

Bagaimanapun, persembahan Roy King-Mei Xing yang tampil bergandingan buat pertama kali di pentas antarabangsa dan mara sehingga ke peringkat separuh akhir ini adalah sesuatu yang boleh dipuji.

Sementara itu, wakil Indonesia yang memenangi perlawanan ini bakal bertemu samada gandingan Singapura, Terry Hee dan Tan Wei Han (ranking ke-86) atau beregu Perancis, Fabien Delrue dan Vimala Heriau (ranking ke-82) di pentas final kelak.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen