Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menasihatkan para pemain yang menjalani ibadah puasa supaya tidak memakan makananan yang terlalu berat semasa berbuka.
Hal ini kerana tindakan tersebut boleh memberikan impak semasa beraksi di atas padang memandangkan jurang antara waktu berbuka dan waktu sepak mula hanyalah sekitar dua jam setengah sahaja.
Untuk makluman semua, sepanjang bulan Ramadan ini, sepak mula saingan Liga Malaysia bagi venue di Semenanjung Malaysia adalah jam 10 malam. Manakala untuk venue di Sabah dan Sarawak pula, sepak mulanya adalah jam 9.15 malam.
Sebagai perbandingan, majoriti waktu berbuka puasa untuk Semenanjung Malaysia adalah sekitar jam 7.30 malam. Sementara itu, di Sabah dan Sarawak pula waktu berbukanya sekitar jam 6.30 petang.
“Banyak aspek yang perlu kita fikirkan bukan sahaja dari segi waktu sepak mula tetapi aspek pemakanan dimana banyak yang perlu pemain ambil serius.
“Kita tahu puasa hanya untuk Muslim, tetapi pada masa sama ada pemain yang tidak berpuasa seperti pemain import, jadi sudah pasti waktu pemakanan mereka akan berbeza.
“Dan apa yang pemain makan itu adalah satu faktor paling penting sebab apabila kita beraksi jam 10 malam, berbuka pukul 7.30 malam, jurang waktu dua jam setengah itu mereka tidak boleh makan makanan yang terlalu berat sebab ia akan beri impak yang berbeza.
“Tetapi, saya tidak perlu fikir perkara negatif mengenai situasi ini sebab semua pasukan pun akan bermain pada waktu yang sama, jadi pemain-pemain hanya perlu menyesuaikan dengan perkara yang telah ditetapkan ini,” katanya.
Untuk pengetahuan semua, skuad The Rhinos telah berada di Kuala Lumpur selama seminggu bagi melakukan persiapan sebelum turun menentang Melaka United FC pada perlawanan ketiga Liga Super yang dijadualkan pada malam esok.
Kim Swee yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan menjelaskan kehadiran awal pasukannya ke Kuala Lumpur adalah untuk mendapatkan perlawanan persahabatan sebelum menentang Melaka United.
Sebagai tambahan, pada ketika ini, Sabah menghuni tangga ketiga liga hasil daripada meraih satu kemenangan ke atas Petaling Jaya City FC (PJ City) serta tumpas satu kali kepada Negeri Sembilan FC.
Featured Image: Sabah Football Club