Artikel

Tiada Lagi Penundaan Ekoran Covid-19, Gantikan Dengan Pemain ‘Reserved Team’ Atau Dikira Kalah – MFL

Penganjur saingan bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan tiada lagi penundaan perlawanan melibatkan pasukan yang dijangkiti oleh Covid-19 selepas daripada ini.

Ini berikutan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL telah meluluskan prosedur operasi standard (SOP) baharu melibatkan perkara tersebut. 

Dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, SOP tersebut telah dibentangkan kepada semua CEO kelab-kelab yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia dalam satu sesi taklimat pada 29 Mac yang lalu.

Dengan perubahan tersebut, maka Protokol Covid-19 perlawanan Liga Malaysia 2022 akan dikuatkuasakan seperti berikut, sekiranya pegawai atau pemain kelab disahkan dijangkiti Covid-19, kelab mempunyai dua pilihan, iaitu:

  1. Kelab diberi pengecualian sementara untuk menggantikan dengan pegawai – pegawai dari pasukan ‘Reserve Team’, Piala Presiden atau Piala Belia bagi mengisi kekosongan tersebut. Manakala bagi pemain kelab dibenarkan untuk mendaftarkan pemain-pemain dari pasukan Reserve Team, Piala Presiden atau Piala Belia ke dalam Senarai Pilihan Skuad Utama bagi mengisi kekosongan tersebut.
  2. Jika kelab tidak dapat menurunkan pegawai dan pemain seperti perkara (1), kerana tidak mempunyai pasukan Piala Presiden atau Piala Belia atau pertindihan jadual perlawanan pertandingan, kelab dibenarkan menurunkan sekurang-kurangnya tiga (3) Pegawai iaitu, Penolong Ketua Jurulatih atau Penolong Jurulatih, Doktor Pasukan dan Fisioterapi. Pasukan perlu menyenaraikan sekurang-kurangnya 14 pemain (3 pemain simpanan) pada hari perlawanan. Namun sekiranya kelab gagal mendaftar jumlah 14 pemain tersebut sebelum perlawanan, maka Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL akan memutuskan sama ada kelab tersebut boleh meneruskan perlawanan atau dikira kalah.

Selain itu, sekiranya kelab gagal mematuhi perkara di atas dan menyebabkan perlawanan tidak dapat dimainkan tanpa alasan munasabah, maka MFL akan merujuk perkara ini kepada BOD MFL dan tindakan seperti berikut akan dikenakan:

  1. Kelab akan dikira kalah 0-3 dan 3 mata diberikan kepada pasukan lawan.
  2. Kelab hendaklah menanggung kos-kos logistik pasukan lawan serta kos-kos pengelolaan perlawanan serta penyiaran.
  3. Kos-kos tiket pengangkutan (penerbangan/bas), perbatuan, tol, penginapan, makanan bagi pegawai-pegawai perlawanan seperti pengadil, penilai pengadil dan komisioner perlawanan.

Tambah Stuart lagi, penundaan perlawanan akan hanya dipertimbangkan sekiranya kedua-dua kelab bersetuju untuk bermain di dalam tempoh ‘FIFA Days’ sahaja tanpa pemain yang berkemungkinan dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Kelulusan pindaan jadual yang berkaitan turut akan memberi kesan kepada waktu rehat dan perjalanan (minimum 2 hari). 

Bagaimanapun sebarang  permohonan berkaitan penundaan perlawanan, perubahan jadual atau apa-apa keputusan berkaitan isu COVID-19 adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan MFL dan arahan terkini oleh Kerajaan.

Featured Image: Malaysian Football League

komen