Mufti: Jual Beli Pemain Bola Dibenarkan Syarak – Tidak Menyerupai Sindiket Pemerdagangan Manusia
April 4, 2022 Hafizuddin Omar

Perpindahan Neymar dari FC Barcelona menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada tahun 2017 mencipta sejarah sebagai pembelian paling mahal dalam sejarah bola sepak dunia dengan melibatkan yuran perpindahan sebanyak €222 juta.

Selain daripada pembelian melibatkan Neymar, ada beberapa lagi pembelian yang melibatkan yuran perpindahan mega seperti Kylian Mbappe ke PSG (€180 juta), Jao Felix ke Atletico Madrid (€126 juta) Philippe Coutinho ke Barcelona (€120 juta), Antoine Griezmann ke Barcelona (€120 juta) dan banyak lagi.

Dengan perpindahan ini, kelab yang membeli dapat menggunakan khidmat pemain tersebut untuk mengharungi saingan liga masing-masing. Manakala kelab yang menjualnya pula mendapat keuntungan dari segi kewangan lebih-lebih lagi sekiranya pemain yang dijual itu ditandatangani dengan kos yang lebih murah sebelum ini.

Namun begitu, adakah pembelian dan penjualan melibatkan pemain-pemain bola sepak ini dibenarkan oleh agama Islam. Bukankah jual beli tubuh badan manusia dilarang dalam agama? Persoalan ini diutarakan kepada Mufti Wilayah Persekutuan (WP).

Dijelaskan oleh mufti, jual beli pemain bola sepak bukan menyerupai sindiket pemerdagangan manusia, dan bukan pula terdiri atas akad jual beli sebagaimana namanya. Akan tetapi, ia terdiri atas kontrak sewa dan upah, dan ia sememangnya dibenarkan menurut syarak.

Jelasnya lagi, aktiviti pemerdagangan orang bermaksud segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan. 

Manakala untuk jual beli atau pertukaran pula tidak menggambarkan berlakunya pemerdagangan manusia. Ini kerana ianya tidak terdapatnya unsur eksploitasi ataupun paksaan di dalamnya. Sebaliknya, ia secara sukarela untuk mengikat kontrak dengan sesebuah kelab bola tersebut.

Pembelian itu pula dilakukan sebagai cara untuk memberikan kompensasi atau bayaran ganti rugi kepada kelab asal pemain tersebut bagi tujuan penamatan kontrak pemain tersebut dengan kelab asal mereka.

Featured Image: Paris Saint-Germain

Komen