Pemain-pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (Kedah) mendominasi carta lima pemain yang melakukan hantaran paling banyak setakat dua perlawanan Liga Super yang berlangsung bulan lalu.
Berdasarkan carta yang dikeluarkan oleh Data Sukan, tiga pemain skuad Harimau Selatan serta dua pemain Sang Kenari mengisi carta lima pemain yang melakukan hantaran terbanyak itu.
Pemain tengah JDT, Natxo Insa mengetuai carta tersebut dengan 168 hantaran direkodkan ketika beraksi menentang Penang FC dan Sarawak United FC.
Ianya diikuti oleh pemain tengah import Kedah, Dechi Marcel yang dibezakan dengan enam hantaran sahaja iaitu 162 hantaran secara keseluruhan ketika turun menentang Sarawak United dan Kuala Lumpur City FC.
Tiga pemain yang melengkapkan carta ini adalah pertahanan import JDT, Shane Lowry (124 hantaran), pertahanan tengah Kedah, Rodney Celvin (113 hantaran) dan seorang lagi pertahanan import JDT, Carli de Murga (106 hantaran).
Selain daripada aspek hantaran terbanyak, kelima-kelima pemain ini turut mendominasi aspek hantaran yang berjaya disudahkan.
Bagaimanapun, senarai ini hanya melibatkan pemain-pemain yang beraksi pada perlawanan pertama dan kedua Liga Super yang berlangsung pada Mac lalu.
Terdapat beberapa pasukan yang belum melengkapkan saingan pertama dan kedua seperti Negeri Sembilan, Selangor, Sri Pahang dan Terengganu.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers & Kedah Darul Aman FC