Artikel

Laporan FAM: Memang Ada Kesalahan Dilakukan Pengadil Perlawanan Kedah vs Sri Pahang

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi menerusi satu laporan oleh Penilai Pengadil mengakui terdapat kesalahan dilakukan pengadil atau barisan pegawai ketika perlawanan Kedah Darul Aman (Kedah) menentang Sri Pahang, Rabu lalu.

Dalam perlawanan tersebut, antara insiden yang berlaku sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan penyokong adalah tindakan pengadil membatalkan dua jaringan oleh Sri Pahang. 

Bagaimanapun, FAM memaklumkan skuad yang terkenal dengan julukan Tok Gajah itu tidak menghantar sebaran surat aduan. Namun begitu, jawatankuasa Penilai Pengadil tetap melakukan siasatan.

“Biarpun tidak menerima sebarang surat aduan daripada Sri Pahang FC, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video, dan mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai perlawanan.” tulis laporan yang disiarkan oleh FAM, hari ini.

Dimaklumkan, FAM akan mengambil tindakan tegas terhadap pengadil-pengadil tersebut termasuk penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan-perlawanan.

Berdasarkan rekod, barisan pengadil yang bertugas pada malam itu ialah Mohd Hasrol Mohd Amir (pengadil), Azri Rozaimie Abu Bakar (penolong pengadil 1), Kesava Raj a/l S. Neelamagan (penolong pengadil 2) dan Abdul Halim Mohd Ramlan (pegawai keempat).

Manakala untuk baki dua perlawanan lagi melibatkan Negeri Sembilan menentang Selangor serta Kuala Lumpur City (KL City) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada Yazan Al-Arab dan Kenny Pallraj masing-masing.

Featured Image: Sri Pahang FC

komen