Dua perlawanan pertama Liga Super di tempat lawan yang diharungi oleh Selangor FC berakhir dengan keputusan seri dan keputusan tersebut tidak begitu disenangi oleh ramai peminat.
Semalam, berlangsungnya perlawanan pertama di gelanggang sendiri buat pasukan Selangor menentang Kedah Darul Aman FC (Kedah) dan ketua jurulatihnya, Michael Feichtenbeiner mengakui pemain-pemainnya menghadapi tekanan yang besar untuk mencatatkan kemenangan pertama.
Bagaimanapun, satu kejutan berhasil dilakar oleh anak-anak buah Coach Michael dengan merekodkan kemenangan 4-1 ke atas Kedah sekaligus memadamkan rekod kemenangan bersih Kedah dalam saingan Liga Super musim ini.
“Hari ini (semalam), pertama kali bermain di hadapan penyokong sendiri, kami tahu terdapat jangkaan yang sangat besar untuk kami catatkan kemenangan, kemenangan dan kemenangan.
“Jadi, ianya tekanan yang sangat besar untuk para pemain, kami ada melakukan kesilapan pada hari ini dan ianya tidak dapat dielakkan,
“Tetapi prestasi secara keseluruhannya sangat menakjubkan, di bawah tekanan tinggi ini dapat menampilkan prestasi sebegini nampak bagus untuk (perlawanan) masa akan datang,
“Tetapi ini hanyalah permulaan, ianya baru sahaja tiga perlawanan awal dan harapnya (kami) dapat mengekalkan momentum ini.” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Mukhairi Ajmal (25’), Caion (34’ & 86’) dan Nor Hakim Hassan (84’) mencetak nama selaku penjaring gol buat Red Giants.
Manakala jaringan saguhati oleh pasukan bertandang pula dihadiahkan oleh Fayadh Zulkifli pada masa kecederaan.
Pada masa yang sama, jurulatih kelahiran Jerman itu menjelaskan sememangnya jangkaan terhadap Selangor untuk musim ini sangat besar dan ramai penyokong mahu hasil yang berorientasikan keputusan yakni kemenangan.
Ianya cukup difahami oleh Coach Michael yang pernah membimbing MPPJ FC suatu masa dahulu. Namun begitu, beliau menambah, Selangor yang tampil dengan beberapa pemain baharu pada musim ini turut memerlukan masa untuk berkembang dan memperbaiki segala kekurangan yang ada sebagai sebuah pasukan dan ianya bukanlah sesuatu yang senang.
Featured Image: Selangor FC