Kekalahan besar Kedah Darul Aman FC (Kedah) di tangan Selangor FC pada perlawanan keempat Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam turut disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Bagaimanapun Sanusi akur dengan kekalahan pasukannya di tangan Selangor dan beliau menantikan saat pasukannya ‘membalas’ kembali kekalahan tersebut pada perlawanan di halaman sendiri, Alor Setar, kelak.
“Selangor 4 Kedah 1. Kedah telah mencuba sedaya upaya tetapi pemain Selangor bermain lebih baik berbanding pasukan Kedah di halaman mereka. Kita tunggu kunjungan Selangor ke (Stadium) Darul Aman nanti.” kata Sanusi menerusi laman sosialnya.
Dalam perlawanan tersebut, skuad Sang Kenari kendalian Aidil Sharin Sahak terpaksa akur tumpas kepada Selangor hasil jaringan Mukhairi Ajmal, Caion (2 gol) dan Nor Hakim Hassan. Sementara itu, jaringan tunggal oleh Kedah pula dijaringkan oleh Fayadh Zulkifli.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) diundang oleh DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah untuk hadir menyaksikan perlawanan tersebut termasuk menghadiri majlis berbuka puasa, penyampaian sumbangan serta solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.
Featured Image: FA Kedah