Ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23), Brad Maloney memilih Thailand dan Vietnam sebagai calon untuk memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA kali ini.
Menurut laporan akhbar tempatan berbahasa inggeris, New Straits Times, jurulatih kelahiran Australia itu memilih Thailand kerana mempunyai beberapa pemain yang beraksi di (benua) eropah. Tambahnya lagi, juara bertahan iaitu Vietnam yang beraksi di tempat sendiri juga akan menyasarkan gelaran yang sama pada kali ini.
Pada masa yang sama, pasukan Filipina juga tidak boleh diambil mudah memandangkan mereka mempunyai beberapa pemain naturalisasi. Sementara itu, pemain-pemain muda Kemboja dan Laos juga semakin menunjukkan kemajuan.
Coach Brad turut berkongsikan tiada pemain lebihan umur akan dibawa ke temasya berkenaan pada bulan hadapan. Ini kerana Coach Brad mahu menyediakan pemain-pemainnya untuk aksi Piala Asia B-23 kelak.
Untuk makluman semua, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Thailand, Kemboja, Singapura dan Laos pada temasya dwitahunan berkenaan.
Manakala, Kumpulan A pula mengumpulkan Vietnam, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor Leste.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA adalah pada edisi 2011. Manakala edisi 2019 yang lalu menyaksikan Malaysia sekadar terkandas di peringkat kumpulan.
Saingan Sukan SEA ini dijadualkan bermula 6hb dan tamat pada 23hb Mei kelak.
Featured Image: Football Association of Malaysia