Artikel

Mora Tak Bohong, Akui Terengganu Sebuah Pasukan Yang Mantap

Walaupun berhasil merekodkan kemenangan, ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengakui lawannya merupakan sebuah pasukan yang mantap.

Perlawanan yang berlangsung pada malam tadi itu menyaksikan skuad Harimau Selatan meraih kemenangan dengan keputusan 2-1 hasil jaringan berganda oleh Bergson da Silva pada separuh masa pertama.

Manakala jaringan tunggal oleh Terengganu yang dibimbing oleh Nafuzi Zain pula disumbangkan oleh Kpah Sherman pada minit ke-31.

“Saya tidak boleh berbohong yang Terengganu merupakan sebuah pasukan yang mantap dan punyai ramai pemain baik selain kekuatan di bahagian tengah.

“Mereka juga begitu baik semasa situasi memegang bola malah sering kali dapat mencari kombinasi yang dimahukan selain penyerang, Kpah Sherman cukup kuat serta berbahaya.” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pada masa yang sama, jurulatih berusia 42 tahun kelahiran Mexico itu turut memberikan pujian kepada ketua jurulatih Terengganu kerana tidak menggunakan taktikal ‘membuang masa’ semasa di dalam permainan.

“Pujian kepada jurulatih Nafuzi Zain dan saya hormat kepada pasukan yang mahu bermain bola sepak dan tidak membuang masa dalam permainan.

“Mereka melawan dengan penuh bermaruah dan kalah 1-2, mereka sangat hampir untuk mendapatkan sesuatu dalam perlawanan ini dan tuah menjadi milik kami.

“Sherman tidak bernasib baik kerana terdapat dua situasi untuk menjaringkan gol selain kami berjaya berada di situ untuk berikan tekanan, di akhirnya kami tahu bagaimana mahu dapatkan tiga mata,” katanya.

Hasil daripada kemenangan ini, JDT dapat mengekalkan kedudukannya di puncak Liga Super dengan 12 mata hasil daripada empat perlawanan.

Perlawanan seterusnya, JDT yang merupakan juara bertahan dijadualkan menentang PJ City pada 6 Mei kelak.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen