Victoria, Australia Dipilih Sebagai Hos Sukan Komanwel 2026
April 12, 2022 β€’ Hafizuddin Omar

Persekutuan Sukan Komanwel (CFG) mengesahkan temasya sukan melibatkan negara-negara bekas jajahan empayar British, Sukan Komanwel 2026 akan diadakan di negeri Victoria, Australia.

Perkara tersebut disampaikan menerusi satu siaran media yang dikeluarkan oleh badan itu pada hari ini. Pengumuman itu menjadikan Australia bakal menganjurkan temasya ini sebanyak enam kali – paling kerap dalam sejarah Sukan Komanwel.

Lima edisi temasya yang pernah dilangsungkan di Australia ialah Sydney 1938, Perth 1962, Brisbane 1982, Melbourne 2006 dan Gold Coast 2018.

Dimaklumkan, temasya ini akan dilangsungkan pada Mac 2026 dengan beberapa bandar di dalam negeri Victoria dipilih sebagai perkampungan sukan seperti Melbourne, Geelong, Bendigo, Ballarat dan Gippsland. Manakala, upacara pembukaannya akan diadakan di Melbourne Cricket Ground yang boleh memuatkan sekitar 100,000 penonton.

Sebanyak 16 jenis sukan – kesemua sukan yang dimainkan di Sukan Komanwel 2022 – disahkan dipertandingkan di Sukan Komanwel 2026. Sementara itu, sekitar tujuh lagi sukan akan ditambah sebelum penghujung tahun ini.

Antara sukan yang telah disahkan dipertandingkan adalah akuatik, olahraga, badminton, tinju, bola tampar pantai, kriket T20, basikal, gimnastik, hoki, bowling padang, bola jaring, ragbi 7s, squash, ping-pong, triahthlon dan angkat berat.

Untuk tahun ini, temasya Sukan Komanwel akan dilangsungkan di Birmingham, England bermula 28 Julai hingga 8 Ogos.

Komen