Pasangan beregu campuran bebas (independent), Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing berhasil merekodkan peningkatan sebanyak satu anak tangga dalam kedudukan ranking dunia selepas memenangi saingan Terbuka Korea, Ahad lalu.
Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Kian Meng dan Pei Jing kini menduduki tangga kesembilan dunia untuk minggu ini.
Untuk pengetahuan semua, ini merupakan kedudukan yang tertinggi pernah diduduki oleh Kian Meng-Pei Jing namun ianya bukanlah pertama kali mereka berada di ranking tersebut.
Pasangan beregu berusia 27 dan 29 tahun masing-masing ini pernah menghuni kedudukan tersebut sebanyak beberapa kali dalam karier mereka dengan kali terakhir adalah sekitar Mac 2020.
Pada masa yang sama, mereka kini merupakan gandingan beregu campuran No.1 negara secara tidak langsung memandangkan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang berada di ranking kelapan dunia sudah mengumumkan perpisahan pada tahun lalu.
Sementara itu, sepasang lagi beregu bebas, Ong Yew Sin dan Goh Liu Ying yang mara sehingga ke peringkat suku akhir Terbuka Korea minggu lalu turut mencatatkan peningkatan yang mendadak sebanyak 83 anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-154 pada minggu ini.
Manakala, dua beregu campuran yang berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei pula mencatatkan penurunan satu anak tangga dan kini menghuni ranking ke-23 dan ke-30 masing-masing.
Featured Image: Facebook Lai Pei Jing