Korea Masters: Goh Jin Wei Tundukkan Pemain Ranking Ke-21 Dunia Di Pusingan 32
April 12, 2022 Hafizuddin Omar

Perseorangan wanita bebas (independent), Goh Jin Wei mencipta kejutan menundukkan pemain Thailand yang berada di ranking lebih tinggi daripadanya untuk mara ke Pusingan 16 saingan Korea Masters 2022.

Di Pusingan 32 yang berlangsung sebentar tadi, Jin Wei yang kini menghuni ranking ke-88 mengalahkan Phittayaporn Chaiwan yang berada di ranking ke-21 dunia.

Kemenangan Jin Wei hadir selepas bertarung sebanyak tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-12, 19-21 dan 21-11 dalam tempoh masa yang menghampiri satu jam permainan.

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Jin Wei berhasil menumpaskan Phittayaporn di pentas antarabangsa. Jin Wei merekodkan kemenangan pertama ke atas pemain ini semasa di temasya Sukan Olimpik Remaja 2018.

Pertemuan itu berlangsung di peringkat separuh akhir Sukan Olimpik Remaja 2018.

Sementara itu, di peringkat Pusingan 16 kelak, Jin Wei bakal berhadapan dengan pemain China, Wang Zhiyi yang merupakan penghuni ranking ke-17 dunia.

Pemain ini mengesahkan kemaraan selepas menumpaskan pemain tuan rumah, Sim Yu-jin secara ‘straight set’ dengan skor 21-18 dan 21-16 di Pusingan 32, sebentar tadi.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen