Korea Masters: Soon Huat-Shevon Lai Mara Ke Pusingan 16 Bertemu Beregu Israel
April 13, 2022 Hafizuddin Omar

Pasangan beregu bebas (independent), Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai menjadi wakil negara yang kedua dalam kategori beregu campuran mara ke Pusingan 16 dalam saingan Korea Masters 2022. 

Pasangan beregu campuran negara yang pertama mengesahkan kemaraan adalah gandingan Chan Peng Soon dan Toh Ee Wei yang merekodkan kemenangan ke atas Soong Joo Ven dan Goh Jin Wei, semalam.

Soon Huat-Shevon Lai yang menduduki ranking ke-13 dunia merangkap pilihan keempat kejohanan pula mara selepas menumpaskan beregu tuan rumah, Wang Chan dan Jung Kyung-eun di Pusingan 32, sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, Soon Huat-Shevon Lai berjaya menumpaskan pasangan beregu Korea yang mula bergandingan bersama sejak bulan ini secara ‘straight set’ dengan skor 21-12 dan 21-12 dalam tempoh masa tidak sampai setengah jam.

Sementara itu, di Pusingan 16 kelak, Soon Huat dan Shevon Lai bakal menentang pasangan beregu Israel, Misha Zilberman dan Svetlana Zilberman yang menghuni ranking ke-133 dunia.

Misha dan Svetlana sepatutnya menentang beregu India, Sai Pratheek dan N. Sikki Reddy di Pusingan 32, namun mereka mara ke Pusingan 16 secara ‘walkover’ atau menang tanpa bertanding.

Untuk rekod, Soon Huat-Shevon Lai dan pasangan Zilberman ini belum pernah bertemu di mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Featured Image: Swiss Open

Komen