Skuad Thailand bawah 23 tahun (B-23) yang beraksi dalam temasya Sukan SEA 2021 Vietnam kelak akan mendapat sentuhan daripada ketua jurulatih skuad senior, Alexandre ‘Mano’ Polking.
Perkara tersebut diumumkan oleh pengurus pasukan senior dan skuad B-23, Nualphan Lamsan atau dikenali ramai sebagai Madam Pang dalam satu sidang media, Isnin lalu.
Menurut laporan Bangkok Post, Madam Pang berbuat demikian kerana barisan kejurulatihan sedia ada yang diketuai oleh Worrawoot Srimaka khuatir mereka tidak dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya dalam temasya sukan dwitahunan itu nanti.
#BREAKING มาโน โพลกิง คุมทัพช้างศึก U23 ล่าเหรียญทองซีเกมส์
อ่านเพิ่มเติม : https://t.co/njR9xiMLUL#ช้างศึก #ทีมชาติไทย #TogetherAsOne #Changsuek #Thailand #บอลไทย #ฟุตบอลไทย #FAThailand #ช้างศึกU23 #ทีมชาติไทยU23 #Seagames #ซีเกมส์ pic.twitter.com/VIUGDHObwH
— Changsuek – ฟุตบอลทีมชาติไทย (@Changsuek_TH) April 11, 2022
Sejak dilatih kembali oleh Worrawoot bermula Ogos tahun lalu, prestasi skuad Thailand B-23 tidak begitu memberangsangkan dengan sekadar muncul naib juara Kumpulan J dalam Kelayakan Piala Asia B-23 serta naib juara Piala AFF B-23 2022.
Mereka juga kalah tiga perlawanan berturut kepada Qatar, China dan Iraq dalam kejohanan persahabatan antarabangsa, Dubai Cup 2022 yang berlangsung pada penghujung Mac lalu.
Untuk makluman semua, Worrawoot merupakan individu yang sama membimbing skuad Thailand B-23 muncul pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dengan menumpaskan Malaysia pada perlawanan akhir.
Madam Pang turut menambah, Polking hanya mengambil alih skuad Thailand B-23 dalam saingan temasya Sukan SEA yang bermula 6 hingga 23 Mei kelak. Manakala Worrawoot kekal menjadi ‘bos’ skuad Thailand B-23 dalam saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun kelak.
Sebagai tambahan, Polking dilantik menjadi ketua jurulatih skuad senior Thailand pada September 2021 diangkat menjadi ‘hero’ negara apabila berjaya membimbing skuad Gajah Perang muncul juara Piala AFF 2020 dengan menumpaskan Indonesia pada perlawanan akhir yang berlangsung di Singapura, Januari lalu.
Featured Image: Changsuek