Korea Masters: Kian Meng-Wee Kiong Kejutkan Beregu Indonesia Pilihan Ketiga Kejohanan
April 13, 2022 Hafizuddin Omar

Pasangan beregu lelaki bebas (independent) negara, Tan Kian Meng dan Tan Wee Kiong mencipta kejutan menewaskan pasangan Indonesia yang diletakkan sebagai pilihan ketiga saingan Korea Masters 2022. 

Beregu yang menghuni ranking ke-77 dunia itu mencipta kejutan dengan menumpaskan Pramudya Kusumawardana dan Yeremia Rambitan yang berada di ranking ke-21 dunia di Pusingan 32, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Kian Meng-Wee Kiong terpaksa mengharungi tiga set permainan sebelum merekodkan kemenangan. Di akhir pertarungan tersebut, Kian Meng-Wee Kiong mara ke peringkat seterusnya selepas mencetak skor 21-11, 16-21 dan 22-20 dalam tempoh masa 49 minit.

Untuk makluman semua, ini merupakan pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pasangan beregu ini di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Kian Meng-Wee Kiong yang berjaya mara ke Pusingan 16 bakal menghadapi cabaran daripada samada salah seorang beregu tuan rumah iaitu Choi Solgyu-Kim Wonho (ranking 146) atau Jin Yong-Na Sung-seung (ranking 284).

Komen