Rekod bolos Selangor FC menjadi satu topik perbincangan hangat di media sosial selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC (Kedah) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), baru-baru ini.
Ini gara-gara mereka bolos satu gol ketika perlawanan tersebut dan menjadikan skuad Red Giants telah merekodkan bolos sebanyak enam gol daripada tiga perlawanan Liga Super, musim ini.
Pertahanannya, Sharul Nazeem Zulpakar atau dikenali sebagai Afro mengakui rezeki tidak begitu memihak kepada pasukannya untuk mencetak kemenangan tanpa bolos dalam perlawanan tersebut.
Namun pemain berusia 22 tahun itu menyatakan pasukan Selangor akan berusaha untuk merekodkan keputusan tanpa bolos bermula perlawanan seterusnya, menentang Terengganu FC yang akan berlangsung 22 April nanti.
“Bukan rezeki kami untuk mendapat ‘clean sheet’ pada malam ini (Ahad) tetapi insyaAllah kami akan buat yang terbaik dalam perlawanan seterusnya tanpa bolos dan menang.
“Bagi saya macam aksi minggu lepas (menentang Negeri Sembilan), kami bermain 10 orang jadi mungkin daripada segi kecergasan, fokus agak lemah sebab ambil mudah dengan pihak lawan, tapi hari ini (Ahad) kita tidak ingin benda sama berulang dan kami lebih fokus.
“Mungkin ini satu permulaan untuk kita lebih bersemangat dan setiap perlawanan kita akan pastikan untuk tidak mengambil mudah selepas ini,” katanya.
Selain bolos satu gol menentang Kedah, Ahad lalu, mereka turut bolos tiga gol ketika menentang Kuala Lumpur City (KL City) serta dua gol semasa menentang Negeri Sembilan FC.
Bercakap mengenai pertemuan antara Selangor dan Terengganu, kali terakhir kemenangan tanpa bolos direkodkan Selangor ke atas Terengganu adalah dalam saingan Liga Super pada Mac 2019 ketika beraksi di Stadium Shah Alam.
Dalam perlawanan tersebut, Red Giants menang 1-0 hasil jaringan tunggal oleh pemain tengah, Faiz Nasir.
Selepas perlawanan itu, Selangor gagal mencatatkan sebarang ‘clean sheet’ atau kemenangan ke atas Terengganu dalam enam aksi berikutnya termasuk dalam dua perlawanan Piala Malaysia musim lalu.
Featured Image: Selangor FC