Pasukan berpangkalan di kepulauan Borneo, Sabah FC tidak akan melepaskan pemain kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani untuk menyertai skuad kebangsaan negaranya bagi mengharungi saingan temasya Sukan SEA 2021 Hanoi yang berlangsung bermula 6-22 Mei kelak.
Hal ini kerana khidmat pemain berusia 23 itu diperlukan oleh skuad The Rhinos untuk menghadapi lima perlawanan domestik menentang Selangor, Terengganu, Penang, Sri Pahang dan satu perlawanan Piala FA menentang sebuah pasukan yang akan ditentukan kelak dalam tempoh berkenaan.
Menurut kenyataan rasmi, pengurus pasukan, Ahmad Marzuki Nasir menegaskan Sabah teguh dengan pendirian tidak akan melepaskan khidmat Saddil untuk digunakan oleh skuad Indonesia B-23 semasa tempoh tersebut memandangkan ianya di luar kalendar FIFA.
Team Statement about
Saddil Ramdani. pic.twitter.com/wRTTZam2sM— Sabah FC Official (@SabahFCofficial) April 14, 2022
“Untuk rekod, Saddil merupakan tonggak utama dan tiada pasukan di dalam dunia akan melepaskan pemain berkualiti di luar kalendar FIFA.” katanya.
Jelasnya lagi, pasukan dibenarkan oleh badan induk bola sepak dunia untuk tidak melepaskan pemain menyertai sebarang kejohanan bersama skuad kebangsaan yang berlangsung di luar kalendar FIFA.
Bagaimanapun, Sabah memaklumkan tidak mempunyai masalah malahan bersetuju untuk melepaskan Saddil menyertai tugasan bersama skuad kebangsaan negaranya semasa rehat antarabangsa FIFA yang seterusnya bermula 30 Mei hingga 14 Jun nanti.
Dalam kenyataan yang sama, Saddil turut tampil mengucapkan semoga berjaya kepada ketua jurulatih, Shin Tae-yong serta skuad Garuda Muda yang beraksi dalam temasya Sukan SEA itu nanti.
Featured Image: Sabah Football Club