Artikel

Korea Masters: Soon Huat-Shevon Lai Bertemu Beregu Singapura No.60 Dunia Di Suku Akhir

Pasangan beregu campuran bebas (independent) negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai berhasil menempah tiket ke peringkat suku akhir Korea Masters 2022 – Jelajah Dunia Super 300 BWF.

Beregu yang berada di ranking ke-13 dunia itu mara ke suku akhir selepas menumpaskan pasangan anak dan ibu dari Israel, Misha Zilberman dan Svetlana Zilberman di Pusingan 16, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Soon Huat-Shevon Lai menang mudah secara ‘straight set’ dengan skor 21-5 dan 21-8 dalam tempoh masa sekitar 21 minit permainan sahaja.

Untuk makluman semua, ini merupakan pertemuan sulung melibatkan kedua-dua beregu di pentas antarabangsa. 

Sementara itu, Soon Huat-Shevon Lai yang mara ke peringkat suku akhir bakal turun menentang beregu dari negara jiran tetangga, Singapura pada hari esok.

Beregu yang akan ditentang oleh mereka ialah Terry Hee Yong Kai dan Tan Wei Han yang berada di ranking ke-60 dunia. Berdasarkan rekod, kedua-duanya pernah bertemu sekali sebelum ini dan perlawanan itu dimenangi oleh Soon Huat-Shevon Lai.

Featured Image: Swiss Open

komen