Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia akan memulakan saingan memburu gelaran sebagai ‘Raja Asia’ dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 dengan menentang pemain China.
Hasil undian yang berlangsung pada hari ini, Zii Jia yang menghuni ranking ketujuh dunia bakal bertarung menentang Sun Fei Xiang, 23 tahun, yang berada ranking ke-54 dunia pada Pusingan 32.
Berdasarkan rekod, Fei Xiang pernah menentang Zii Jia sebanyak satu kali sebelum ini dalam saingan Kejohanan Badminton Asia Remaja (Berpasukan) 2016. Bagaimanapun, dalam perlawanan tersebut, Zii Jia tumpas ‘straight set’ dengan skor 13-21 dan 18-21.
Sementara itu, wakil kedua negara, Liew Daren, ranking ke-35 dunia, diundi menentang pemain No.1 Korea, Heo Kwanghee (ranking ke-30) di pusingan yang sama. Kedua-dua pemain ini sudah pernah berentap sesama sendiri sebanyak empat kali dan hanya satu perlawanan sahaja dimenangi oleh Daren.
Untuk wakil ketiga negara, Ng Tze Yong pula bakal memulakan kempen sulungnya di pentas BAC ini dengan menentang pemain No.2 India, Srikanth Kidambi yang juga merupakan pemain No.11 dunia. Ini bakal menjadi pertarungan sulung melibatkan kedua-dua pemain di pentas antarabangsa.
Wakil perseorangan lelaki terakhir negara, Aidil Sholeh, ranking ke-112 dunia, yang berusia 22 tahun pula diundi menentang pemain Taiwan yang menghuni ranking ke-15 dunia, Wang Tzu Wei.
Untuk makluman semua, saingan BAC ini telah dinaiktaraf menjadi kejohanan setaraf Jelajah Dunia Super 1000 BWF. Ini menjadikan pemenang bakal mendapat sebanyak 12,000 mata. Kejohanan ini dijadualkan berlangsung di Manila, Filipina bermula pada 26 April hingga 1 Mei hadapan.
Featured Image: Badminton Asia
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!