Artikel

BAC 2022: Empat Beregu Lelaki Malaysia Dapat Lawan Ranking Rendah

Keputusan undian Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 yang diadakan pada hari ini menyaksikan empat beregu lelaki negara masing-masing diundi menentang lawan yang memiliki ranking lebih rendah di Pusingan 32.

Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang menghuni ranking kelapan dunia merangkap pilihan kelima kejohanan diundi menentang pasangan China No.276 dunia, He Ji Ting dan Zhou Hao Dong.

Manakala beregu lelaki No.2 negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi yang merupakan beregu kesebelas dunia merangkap pilihan keenam kejohanan pula bakal berhadapan dengan beregu Hong Kong No.89 dunia, Chang Tak Ching dan Yeung Min Nok.

Sementara itu, juara Terbuka Jerman, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang berada di ranking ke-16 serta diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan diundi menentang gandingan lelaki Filipina yang tidak mempunyai ranking, Solomon Jr. Padiz serta Julius Villabrille.

Akhir sekali, beregu muda, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun yang menduduki ranking ke-45 dunia turun buat pertama kali di pentas BAC dengan menentang beregu Thailand, Weeraphat Phakjarung dan Wongsathorn Thongkham.

Untuk makluman semua, saingan ini akan bermula pada 26 April kelak dan pemenang akan mendapat 12,000 mata memandangkan kejohanan ini telah diangkat statusnya menyamai Jelajah Dunia Super 1000 BWF.

Featured Image: Badminton Asia

komen